Perang Salib
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perang Salib ialah beberapa siri kempen perang yang
dipengaruhi isu keagamaan dan politik sekitar kurun ke-11 hingga ke-13
Masihi. Misi asal tentera salib adalah menawan
Baitulmuqaddis dan kawasan sekitarnya daripada orang
Islam selain dari matlamat sampingan seperti menawan Kota
Constantinople (yang berjaya semasa
Perang Salib Keempat).
Latar belakang
Perang Salib bertitik tolak dari pembangunan pesat yang berlaku di Eropah Barat semasa
Zaman Pertengahan, serta kemerosotan
Empayar Byzantine di timur. Perpecahan
Empayar Carolingian pada lewat abad ke-9 dan kestabilan Eropah selepas
pengkristianan kaum
Viking,
Slav, dan
Magyar
menghasilkan ramai satria yang tidak mempunyai pekerjaan kecuali
bergaduh sesama sendiri dan melancarkan keganasan terhadap para petani.
Pihak
gereja berusaha untuk membendung keganasan ini melalui beberapa gerakan gencatan senjata yang dipanggil
Peace and Truce of God
yang hampir berjaya. Namun, terdapat segelintir satria terlatih yang
masih mahu meluahkan keganasan mereka - kecuali yang berlaku semasa
Reconquista di
Sepanyol dan negeri
Portugal, di mana tentera Kristian sibuk memerangi bangsa
Moor beragama
Islam di Eropah.
Pada
1009, khalifah
Fatimiyyah,
al-Hakim bi-Amr Allah telah menggeledah hospis pilgrim di
Baitulmuqaddis dan merosakkan
Gereja Makam yang Suci.
Walaupun didirikan semula oleh maharaja Bizantine, peristiwa memalukan
ini sentiasa berada dalam ingatan bangsa Eropah dan menolong
menyemarakkan lagi Perang Salib.
[1]
Pada
1063,
Paus Alexander II telah memberi restu
papal kepada rakyat Kristian di Iberia untuk melancarkan perang terhadap orang Islam, memberi
papal standard (yang dipanggil
vexillum sancti Petri) dan pengampunan
indulgence bagi mereka yang terbunuh sewaktu perang. Rayuan daripada beberapa Maharaja Byzantium yang diancam oleh tentera
Seljuk, bermula pada
1074 daripada Maharaja
Michael VII kepada
Paus Gregory VII, kepada Maharaja
Alexius I Comnenus kepada
Paus Urban II pada 1095, akhirnya mendapat perhatian
Paus Alexander II.
Perang Salib berlaku antaranya untuk menunjukkan ketaatan kuat kepada
agama yang bangkit pada abad ke-11 di kalangan orang awam. Salah satu
sebab ini terjadi adalah
Kontroversi Istiadat Pengurniaan (di mana satria kristian menerima penghargaan dari pihak gereja) yang bermula lebih kurang pada
1075
dan masih berterusan sepanjang Perang Salib Pertama. Perkara ini telah
memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh penganut Kristian
sehingga mereka berlumba-lumba untuk menarik sokongan umum, menyebabkan
satu pengalaman keagamaan yang dramatik. Hasilnya adalah satu kesedaran
spiritual
Kristian dan timbulnya minat awam yang kuat terhadap agama. Ini diperkuatkan dengan
propaganda keagamaan, dan sokongan untuk
Perang Yang Adil untuk merampas semula Tanah Suci termasuk
Baitulmuqaddis (di mana berlakunya kematian, kebangkitan semula dan naiknya
Nabi Isa ke syurga) dan
Antioch
(bandar raya Nasrani yang pertama) daripada orang Islam. Semua ini
akhirnya dinyatakan dalam sokongan popular massa untuk Perang Salib
Pertama sewaktu abad ke-12.
Kehadiran Islam di Tanah Suci kristian telah bermula sejak penaklukan
Palestin oleh tentera Islam Arab dalam
abad ke-7.
Walaupun begitu, orang Islam tidak banyak campur tangan dalam urusan
perjalanan jemaah Kristian ke tempat-tempat suci ataupun menganggu
keselamatan bihara-bihara dan masyarakat Kristian di Tanah Suci.
Orang-orang Eropah di barat juga tidak begitu peduli dengan kehilangan
Baitulmuqaddis
yang jauh kerana mereka sendiri berhadapan dengan pencerobohan oleh
orang Islam dan puak bukan Kristian lain seperti Viking dan Magyar.
Bagaimanapun, kejayaan demi kejayaan tentera Islam telah memberi tekanan
yang hebat kepada
Kristian Ortodoks Timur yang berpusat di Empayar Bizantine.
Perubahan sikap Barat terhadap timur berlaku pada tahun
1009 apabila khalifah Fatimiyyah dari
Kaherah iaitu
al-Hakim bi-Amr Allah
menceroboh serta merosakkan Gereja Makam yang Suci di Baitulmuqaddis.
Pengganti al-Hakim membenarkan Empayar Bizantine untuk membina gereja
semula tetapi dengan syarat yang ketat, dan jemaah Kristian telah
dibenarkan semula untuk melakukan kunjungan suci. Terdapat juga khabar
angin disebarkan memgenai kekejaman Muslim terhadap jemaah Kristian.
Cerita-cerita ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam menyemarak
Perang Salib pada abad-abad seterusnya.
Penyebab
- Adalah mustahak mencari asal-usul satu perjuangan ideal dalam
perjuangan di antara orang-orang Kristian dan orang Islam di Sepanyol
dan mempertimbangkan bagaimana idea satu perang jihad timbul daripada
latar belakang ini. — Norman F Cantor
Perang Salib Pertama berpunca daripada rayuan
Alexius I kepada
Paus Urban II meminta
tentera upahan menolongnya menyekat kemaraan tentera Islam ke dalam wilayah Empayar Bizantine. Pada
1071, Empayar Bizantine ditumpaskan di
Pertempuran Manzikert, dan kekalahan ini menyebabkan Empayar kehilangan kesemua wilayah kecuali kawasan pesisiran Asia Minor (
Turki baru). Walaupun
Perpecahan Timur-Barat
sedang bergolak antara penganut Roman Katolik di Barat dan gereja
Yunani Ortodoks di Timur, Alexius I masih mengharapkan sedikit bantuan
daripada rakan Kristian yang lain. Jawapan yang diterimanya adalah
menggalakkan, Paus telah memanggil satu bala tentera penakluk yang besar
bukan sahaja mempertahankan Empayar Byzantine, malah mengambil semula
Baitulmuqaddis.
Apabila Perang Salib Pertama mula diseru pada
1095, pemuda-pemuda Kristian di utara Iberia telah pun berperang bersama di pergunungan
Galicia dan
Asturias, negara
Basque dan
Navarre, dengan memperoleh banyak kejayaan untuk kira-kira seratus tahun. Kejatuhan kerajaan Islam Moor di
Toledo kepada kerajaan León pada
1085 adalah dianggap satu kemenangan yang besar, namun
Reconquista
masih mahu diteruskan. Pada masa itu terdapat perpecahan dikalangan
amir-amir Islam, dan kebanyakan keluarga orang Kristian berada di negara
yang selamat. Mereka (orang kristian) tidak tahu apa-apa kecuali
bergaduh, mereka juga tiada sebarang taman mahupun perpustakaan untuk
dipertahankan, dan mereka harus mara ke wilayah asing yang dihuni oleh
orang 'kafir'. Semua faktor-faktor ini digunakan sebagai alasan
berperang dengan orang Islam. Sejarawan Sepanyol melihat
Reconquista sebagai acuan penting membentuk sebuah pasukan yang berwatak
Castilian, dengan kesedaran "kebaikan tertinggi adalah untuk mati bertarung demi agama Kristian sesuatu negara".
Reconquista adalah contoh paling ketara perang Kristian
terhadap penaklukan Islam selain beberapa contoh lain seperti penjelajah
seorang Norman,
Robert Guiscard, untuk menakluki "toe of Itali,"
Calabria,
pada 1057 dan mempertahankan kawasan yang secara tradisinya wilayah
Bizantine, daripada orang Islam di Sicily. Negeri-negeri maritim
Pisa,
Genoa dan
Catalonia semuanya berjuang menentang kubu Islam di
Majorca dan
Sardinia, membebaskan susur Itali dan Catalonia daripada serangan-serangan Islam. Terdahulu dari itu tanah air Kristian di
Syria,
Lebanon,
Palestin,
Mesir, dan sebagainya pernah menjadi taklukan askar-askar
Islam.
Sejarah berpanjangan yang menyaksikan kejatuhan wilayah-wilayah
Kristian ke tangan musuh berlainan agama telah menghasilkan satu
dorongan kuat untuk menerima seruan maharaja Byzantine, Alexius I,
melancarkan perang agama demi mempertahankan seluruh penganut Kristian,
dan mengambil semula tanah-tanah yang telah jatuh ketangan Islam bermula
dengan
Baitulmuqaddis.
Paus Gregory VII pada mulanya ragu-ragu untuk mengorbankan darah awam
bagi perang agama. Keraguan hilang apabila tindakan perang dilihat
sebagai keganasan yang bersebab antaranya kerana penyeksaan orang-orang
Kristian yang melakukan lawatan suci ke Tanah Suci. Dan pada orang
Kristian, yang menentang
Arianisme dan fahaman menyeleweng lain, keganasan kepada kaum 'kafir' adalah perkara biasa yang diterima. Santos
Augistine daripada Hippo misalnya menunjukkan bahawa penggunaan kekerasan untuk berkhidmat kepada Tuhan di
Bandar Raya Tuhan adalah wajar dan bagi seorang penganut Kristian "
perang yang adil"
dapat meninggikan kedudukan seorang pemimpin yang agresif dan
bercita-cita tinggi di Eropah seperti Paus Gregory sendiri. Di utara
Rome, satria yang menyusahkan boleh dipergunakan dalam perang. Di
selatan Rom, tentera
Norman menunjukkan potensi untuk dipergunakan bagi menghadapi orang Arab (di
Sicily)
dan pihak Byzantine di tanah besar. Menguasai Constantinople juga akan
memperkukuhkan kuasa Papal setelah perlaku perpecahan agama Kristian
pada tahun 1054.
Di Byzantine, kelemahan maharaja terserlah berikutan kekalahan dalam
Pertempuran Manzikert pada
1071,
yang menguncupkan Empayarnya di wilayah Asia kepada sebuah rantau di
barat Anatolia dan di sekitar Constantinople. Dalam keadaan terdesak,
maharaja Byzantine, Alexius I Comnenus, meminta bantuan daripada
musuhnya iaitu Paus. Tetapi Paus Gregory pada ketika itu begitu sibuk
dengan
Kontroversi Istiadat Pengurniaan
dan tidak dapat membantu maharaja tersebut dan Perang Salib ini tidak
terjadi. Bagi pengganti Gregory yang lebih sederhana iaitu
Paus Urban II,
Perang Salib akan menyatukan semula seluruh penganut Kristian,
menyokong Papal, dan mungkin membawa negara di timur di bawah
kawalannya. Rakyat Jerman dan Norman yang tidak puas hati tidak perlu
dijadikan sandaran kerana 'jantung' dan 'tulang belakang' perang agama
ini boleh diperoleh di kalangan orang Perancis utara.
Selepas Perang Salib Pertama
Perang Salib Pertama melakarkan gelombang keganasan keagamaan seperti
pembunuhan beramai-ramai Yahudi, serta layanan ganas terhadap
orang-orang Kristian Ortodoks Timur yang ingin berpisah daripada
Kristian di barat. Keganasan pada orang-orang Kristian Ortodoks memuncak
semasa penggeledahan Constantinople pada
1204, di mana kebanyakan askar-askar salib turut terlibat.
Selepas Acre jatuh buat kali terakhirnya pada 1291, dan selepas
penghapusan Occitan Cathars dalam Perang Salib di Albigensian, ideal
perjuangan ini semakin surut akibat permainan politik Papal untuk
kepentingan dirinya.
Pasukan satria
Order of Knights terakhir berada di wilayah Acre adalah
Kesatria Darjah Hospitaller. Selepas kejatuhan Acre mereka melarikan diri ke pulau
Rhodes, dan dalam abad ke-16 mereka dihalau ke
Malta. Pasukan ini akhirnya telah disingkirkan oleh
Napoleon pada
1798.
Perang Salib yang utama
Terdapat pelbagai Perang Salib di mana yang besar sebanyak sembilan
kali. Perang Salib yang penting dan terbesar berlaku pada abad ke-11
hingga ke-13. Perang Salib bukan sahaja berlaku di tanah orang Islam
tetapi juga di Iberia dan Eropah tengah.
Selain itu terdapat beberapa perang Salib kecil-kecilan terhadap
fahaman yang dianggap sesat oleh pihak berkuasa Kristian dan musuh-musuh
peribadi Paus atau raja-raja berkuasa yang lain. Perang Salib seperti
ini telah berterusan ke
abad ke-16 hingga
Zaman Pembaharuan dan
Reformasi apabila iklim politik dan keagamaan Eropah berubah. Berikut ialah satu senarai Perang Salib yang utama.
Perang Salib Pertama (1095-1099)
-
Perang Salib Pertama terjadi apabila
Maharaja Bizantium,
Alexius I, meminta tolong dari
Paus untuk melindungi empayarnya daripada
Turki Seljuk. Pada tahun 1095, semasa
Majlis Clermont,
Paus Urbanus II menginginkan
Baitulmuqaddis jatuh ke genggaman tentera
Frank. Alasannya adalah sejak kejatuhan
Constantinople ke tangan bangsa Seljuk, bangsa Eropah menghadapi kesulitan menziarah Jerusalem kerana dihalang oleh bangsa Seljuk.
Pihak Vatican mengirim surat kepada raja-raja Eropah meminta bantuan
beserta sukarelawan dari rakyat mereka. Vatican juga mula mengumpul
sukarelawan perang dan menjanjikan syurga dan penghapusan dosa. Pihak
Vatikan juga mengatakan membunuh umat Islam adalah halal dan mereka yang
berbuat demikian dijamin masuk syurga.
Para pembesar Eropah mengirimkan mereka sekitar 40,000 orang di bawah pimpinan
Raymond dari
Toulouse,
Behomend dari
Sicily, dan
Godfrey dari
Boullin.
Pemimpin perang ini diberi jaminam akan menjadi para pembesar di
Kerajaan Suci Jerusalem. Tentera Salib berkumpul di Konstantinopel untuk
membantu Rom Timur pimpinan Alexius Comnenus melawan bangsa Seljuk.
Maka bermulalah perjalanan yang panjang.
Pada 4 Jun 1097, tentara salib menakluki ibu kota Seljuk menyebabkan tentera diterajui Sultan
Qilij Arslan mengalami kekalahan besar-besaran dalam
pertempuran Dorylaeum di dataran tinggi
Anatolia.
Tentera salib meneruskan perjalanan ke Antioch. Kota ini dikepung cukup
lama dari Oktober 1097 hingga Jun 1098. Gabenor Antioch,
Yaghisian,
mengusir kaum Kristian yang terkenal dengan sebutan kaum Ortodoks Timur
yang tinggal di dalam kota sejak bertahun-tahun yang lalu. Yaghisian
juga memohon pertolongan daripada Syria untuk mengusir tentara salib.
Syria mengirim bantuan dan mereka mengepung tentera salib supaya
tidak mendapat bekalan makanan dari luar. Strategi ini berjaya sehingga
satria berkuda tentera salib terpaksa memakan kuda mereka dan para
tentera pejalan kaki memakan dedaunan untuk terus hidup. Walaupun
tentera Islam berjaya memutuskan hubungan dunia luar, tentera Salib
masih mampu merebut
Antioch.
Kekalahan tentera Islam adalah berpunca rasa ketidakpercayaan antara
sesama pasukan. Tentera bantuan dari Syria enggan mematuhi perintah
gabenor Antioch, Yaghisian, kerana mereka beranggapan panglima dari
Syria lebih tinggi daripada gabenor sebuah jajahan dari Syria. Kekalahan
mereka juga disebabkan terdapat
pengkhianat yang membocorkan rahsia pasukan Islam kepada para pimpinan tentera salib yang menjanjikan hadiah yang besar.
Setelah menguasai Antioch sepenuhnya, tentara salib bergerak menuju
ke Ma’araat al-Nu’man dan menakluknya pada 2 Disember 1098. Ma’araat
al-Nu’man bukanlah sebuah kota besar seperi
Baitulmuqaddis
ataupun Damsyik. Kekejaman tentara salib tidak akan terhapus dari
memori umat Islam. Didorong oleh kepercayaan bahawa membunuh umat Islam
dijamin syurga, tentera salib membunuh ramai umat Islam.
Setelah menambah kekuatan mereka, tentera salib bergerak ke matlamat utama mereka iaitu kota
Baitulmuqaddis.
Dengan bantuan pasukan tambahan dari Eropah, tentara salib menguasai
daerah pesisir pantai Syria dan meluaskan pengaruh mereka di
Mediteranian Timur. Pergerakan mereka tidak disekat sehingga
Baitulmuqaddis jatuh ke tangan kaum Frank tanpa perlawanan pada hari Jumaat, 5 Julai 1099. Salah seorang pimpinan mereka,
Godfrey the Bouillon, diangkat sebagai penguasa
Baitulmuqaddis. Perpecahan umat Islam yang terjadi pada masa itu adalah penyebab utama kejatuhan
Baitulmuqaddis. Jatuhnya ibu kota ini ke tangan kaum Frank menandakan berakhirnya Perang Salib Pertama.
Perang Salib Kedua (1145-1149)
-
Setelah kejatuhan
Jeruselam
ke tangan kaum Frank, mereka melakukan serangan ke daerah sekitar untuk
memperluas kekuasaan mereka. Karena faktor geografi, daerah-daerah
pantai Syria yang terbentang menghadap ke barat, berhasil dikuasai
tentera salib. Tentera salib juga menakluk
Tripoli.
Jatuhnya Tripoli ke tangan tentera salib menandakan berakhirnya
perluasan kaum Frank untuk memperluas Negara Salib. Serangan tentera
salib selanjutnya ke atas Aleppo dan Damsyik banyak menemui kegagalan
kerana mendapat tentangan keras dari pasukan setempat. Di dua kota
inilah semangat jihad umat Islam yang hilang di tahun-tahun sebelumnya
akibat perpecahan agama, bangkit kembali.
Para
ulama memainkan peranan yang sangat penting disebalik kebangkitan semangat
jihad umat Islam.
Al-Sulami, seorang ulama sufi dari
Masjid Umayyah,
Damsyik, adalah ulama yang melopori dakwah bertemakan jihad dari mimbar masjid. Menurut al-Sulami, kekalahan yang diderita umat
Islam dari perang melawan tentera salib disebabkan hukuman dari
Allah
SWT karena umat Islam mengabaikan kewajiban-kewajiban agama, khususnya
jihad di jalan Allah. Al-Sulami berpendapat jika umat Islam menjalankan
kewajiban-kewajibannya sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah SWT,
maka umat Islam akan mencintai agamanya dan akan berjuang sekuat tenaga
demi agama. Langkah al-Sulami ini diikuti oleh ramai ulama di Suriah
yang banyak melahirkan kelompok mujahidin.
Zengi,
penguasa Turki dari Mosul, merupakan pemimpin yang pertama dalam
sejarah, setelah ekspansi tentera salib semasa Perang Salib Pertama,
yang memimpin para mujahidin Islam. Dengan bantuan seorang ulama,
Ibn al-Khasysyab, meraka membawa umat Islam ke arah kemenangan menentang tentera salib dalam
Pertempuran Ladang Darah di
Balath.
Kemenangan ini membawa impak yang besar kepada psikologi umat Islam dan
menghapus tanggapan mereka tentang kekuatan tentera salib.
Kemenangan Zengi pada tahun 1144 mengukuhkan rasa percaya diri mereka. Kemampuan pasukan
Zengi
merebut Edessa sangat berharga kerana Edessa merupakan kota Negara
Salib pertama yang berhasil direbut oleh umat Islam. Walaupun dua tahun
kemudian Zengi tewas akibat dibunuh, Zengi tetap seorang pahlawan bagi
umat Islam yang membakar semangat jihad mereka. Semangat jihad
diteruskan oleh Nuruddin, tokoh utama Islam semasa Perang Salib Kedua
yang juga putera kepada Zengi.
Kejatuhan Jerusalem (1187)
Nuruddin memimpin Edessa dan Aleppo, daerah kekuasaan yang diwarisi
dari ayahnya, dan memperluas daerahnya dengan mengalahkan tentera salib
di Inap di bulan Julai 1149. Tahun 1154, Nuruddin telah berhasil
menyatukan Syria. Tahun 1163, Amalric naik tahta menjadi pemimpin
tentera salib yang baru. Semasa inilah cabaran Nuruddin bermula.
Amalric melihat peluang besar untuk menguasai Mesir dari penguasaan
Fatimiyyah yang lemah akibat kematian menteri mereka. Nuruddin, selain
memerangi kaum Frank, juga melakukan campur tangan masalah dalaman
mereka. Usaha Nuruddin berhasil karena Syawar, menteri Fatimiyyah,
memohon pertolongan Nuruddin untuk menggulingkan musuh politiknya,
Dirgham, yang menggulingkannya melalui bantuan kaum Frank. Nuruddin
mengirim pasukannya di bawah Syirkuh yang merupakan paman kepada
Salahuddin Al-Ayubbi untuk mengembalikan kekuasaan Syawar di
Kaherah. Pertempuran di
Kaherah akhirnya dimenangi dan Syawar menjadi menteri Fatimiyah.
Operasi ketenteraan kedua dibiayai terus oleh Nuruddin dan memperoleh
kemenangan kecil pada tahun 1168. Kaum Frank kembali ingin menguasai
Kaherah pada tahun yang sama. Ini memaksa Syawar kembali meminta bantuan
Nuruddin. Nuruddin kembali memberi kepercayaan kepada Syirkuh untuk
memimpin pasukan Islam melawan kaum Frank. Dalam pertempuran ketiga ini,
Syirkuh tewas pada tahun 1169 dan digantikan oleh Salahudin. Pasukan
Islam memperoleh kemenangan atas kaum Frank.
Salahudin mengusir kaum Frank dari tanah
Mesir
menjadikan khalifah Fatimiyah menaruh Salahudin untuk memerintah
Kaherah. Karier Salahudin semakin naik dengan terpilihnya ia sebagai
menteri di bawah khalifah al-Adid. Apabila khalifah al-Adid wafat,
Salahudin mengambil langkah penting, iaitu menghancurkan Dinasti
Fatimiyah dan mengembalikan Mesir di bawah kekhalifahan Abbasiyah di
Baghdad.
Operasi ketenteraan Salahudin ini masih di atas nama Nuruddin. Ketaatan
Salahudin kepada Nuruddin berakhir pada tahun 1172 karena Salahudin
menganggap Nuruddin tidak memimpin umat Islam. Perseteruan bagaimanapun
tidak terjadi karena Nuruddin wafat pada tahun 1174. Kematian Nuruddin
ini mengelakkan perseteruan anatara Islam. Jika Nuruddin masih hidup,
Islam mungkin terpecah menjadi dua, antara pendukung Nuruddin dan
Salahudin.
Salahudin mengisytiharkan dirinya sebagai pengganti Nuruddin,
walaupun ditentang oleh keluarga Nuruddin. Salahudin menunjukkan
kredibilitinya dengan memerangi kelompok-kelompok Islam penentangnya.
Dengan jatuhnya Aleppo tahun 1183, Salahudin telah menyatukan Mesir dan
Syria dibawah satu komando. Salahudin pun mengalihkan perhatiannya ke
musuh utama umat Islam sebenarnya, yaitu tentera salib.
Salahudin dan Raja Baldwin IV, penguasa Jerusalem mengadakan
perjanjian damai. Semasa damai ini, kehidupan di Mediterania Timur
kembali berjalan normal. Perjanjian antara kedua raja ini retak akibat
hasutan Reynald the Chatillon, salah seorang pembesar kaum Frank yang
sangat membenci Islam. Tindakan Reyald the Chatillon membuat umat Islam
marah. Bahkan di mata umat Islam, Reynald the Chatillon dianggap
pembesar kaum Frank terburuk. Tindakan Reynald yang mengundang kemarahan
umat Islam adalah seperti keinginan Reynald menghancurkan kota-kota
suci umat Islam, Mekkah dan Madinah serta tindakannya menyerang
kafilah-kafilah Islam sewaktu perjanjian damai.
Salahudin mengirim pasukan Islam untuk menyerang kaum Frank ke Kerak,
tempat Reynald tinggal. Balwin juga mengirim pasukannya ke Kerak
setelah mendengar Salahudin hendak menyerang salah satu wilayahnya.
Peperangan ini berhenti dengan perjanjian damai dan jaminan Reynald akan
dihukum sendiri oleh tangan kaum Frank.
Setahun kemudian, Salahudin sakit dalam waktu yang sangat lama.
Setahun kemudian, Baldwin IV meninggal dunia dan digantikan oleh Guy the
Lusigna. Dengan Guy, yang merupakan teman rapat Reynald the Chatillon,
maka perjanjian antara Islam dengan kaum Frank telah berakhir.
Salahudin, yang telah sembuh, segera menngumpulkan pasukan-pasukan
umat Islam untuk berperang melawan tentera salib. Guy juga segera
mengumpulkan pasukan untuk menyerang Islam. Berlakulah Perang Hittin,
salah satu perang besar dalam sejarah dunia, yang dimenangi pasukan
Islam. Guy dan Reynald ditawan dan dihadapkan ke hadapan Salahudin.
Reynald dibunuh oleh Salahudin dan Guy diseret Salahudin ke Jerusalem.
Pasukan Islam memenangi pertempuran di Arce lima hari selepasnya.
Wilayah dari Gaza hingga Jubayl dikuasai Salahudin pada awal September.
Pada hari Jumaat, 2 Oktober 1187, Salahudin berjaya menawan Jerusalem.
Jatuhnya Jerusalem ke tangan umat Islam adalah puncak kejayaan Salahudin
dalam memimpin umat Islam semasa Perang Salib. Merebut Jerusalem dari
tangan kaum Frank adalah cita-cita terbesar Salahudin dan Perang Salib
Kedua berakhir dengan kemenangan umat Islam.
Perang Salib Ketiga (1187–1192)
-
Pada tahun 1187,
Salahuddin menawan semula Jerusalem.
Paus Gregory VIII membuat seruan Perang Salib yang diketuai beberapa pemimpin utama Eropah:
Philip II dari Perancis,
Richard I dari England dan
Frederick I, dan
Maharaja Suci Rom. Frederick meningal dunia kerana lemas di
Cilicia
pada tahun 1190, dan meninggalkan persekutuan yang tidak stabil antara
kuasa England dan Perancis. Philip pula pulang pada tahun 1191 setelah
tentera salib merampas
Acre dari tangan orang Islam. Pasukan tentera salib menuju ke pantai
Laut Mediterranean. Mereka menewaskan orang Islam berdekatan
Arsuf
dan dapat melihat Jerusalem. Bagaimanapun, tentera salib tidak kekal
bertapak di kawasan tempatan disebabkan bekalan makanan dan air yang
kurang, ini mengakibatkan kejayaan kosong. Richard pulang pada tahun
berikutnya setelah menandatangani genjatan senjata dengan Salahuddin.
Dalam perjalanan pulang, kapal Richard pecah dan mendarat di Austria. Di
Austria, musuhnya,
Duke Leopold menangkap dan memberinya kepada anak Frederick,
Henry VI.
Richard ditahan untuk mendapatkan wang tebusan raja. Pada tahun 1197,
Henry sendiri berasa bahawa dia bersedia untuk Perang Salib, tetapi dia
mati pada tahun yang sama akibat
demam malaria.
Perang Salib Keempat (1202–1204)
-
Jerusalem kembali ke tangan orang Islam sedekad yang lalu. Perang Salib Keempat dilancarkan oleh
Paus Innocent III pada tahun 1202 dengan niat mahu menakluki Tanah Suci menerusi Mesir. Orang
Venice yang diketuai
Doge Enrico Dandolo, diberi kepercayaan untuk mengemudi perang Salib ini dan menghalakannya, pertama ke sebuah bandar Kristian
Zara, kemudian ke
Constantinople.
Di situ mereka cuba meletakkan seorang buangan Byzantine di atas
takhta. Berikutan satu siri salah faham dan ledakan keganasan, bandar
tersebut dijajah pada tahun 1204.
Perang Salib Albigensian
-
Perang Salib
Albigensian dilancarkan pada tahun 1209 untuk menghapuskan kumpulan sesat yang dipanggil
Cathar
di selatan Perancis. Perang ini adalah pertarungan yang berdekad-dekad
lamanya yang banyak dihabiskan dengan keinginan kawasan utara Perancis
untuk meluaskan cengkamannya ke arah selatan sebagaimana yang dilakukan
terhadap kumpulan sesat itu. Kesudahannya, kumpulan Cathar dan
kemerdekaan kawasan selatan Perancis lenyap.
Perang Salib Kanak-Kanak
-
Perang Salib Kanak-Kanak adalah Perang Salib rekaan atau yang disalah
ertikan, yang berlaku pada tahun 1212. Ceritanya berkisar mengenai
letusan semangat lama popular yang membawa kepada perhimpunan
kanak-kanak di Perancis dan Jerman.
Paus Innocent III
menterjemah perhimpunan ini sebagai celaan dari langit terhadap
golongan dewasa mereka yang tidak layak. Tiada seorang pun daripada
kanak-kanak itu sampai ke
Tanah Suci sebenarnya; samada mereka semua dijual sebagai hamba, menetap di sepanjang laluan ke
Jerusalem, atau mati kebuluran semasa dalam perjalanan.
Perang Salib Kelima (1217–1221)
-
Dengan memperalatkan perarakan, doa dan syarahan, pihak Gereja cuba membentuk satu lagi Perang Salib.
Persidangan Lateran Keempat (1215) telah merumuskan sebuah rancangan untuk merampas kembali Tanah Suci. Pasukan tentera salib dari
Hungary,
Austria, dan
Bavaria mencapai kejayaan luar biasa dengan penaklukan
Damietta di Mesir pada tahun 1219. Tetapi atas desakan segera dari
duta Paus,
Pelagius, mereka meneruskan serangan berani ke atas
Kaherah, tetapi banjir
Sungai Nil memaksa mereka memilih samada menyerah kalah atau kemusnahan.
Perang Salib Keenam (1228–1229)
-
Pada tahun 1228,
Maharaja Frederick II belayar dari
Brindisi menuju ke Syria walaupun menerima
penyingkiran oleh Paus (
papal excommunication). Melalui saluran diplomasi dia mencapai kejayaan yang tidak dijangkakan apabila Baitulmaqdis,
Nazareth dan
Baitul Laham akan diserahkan kepada tentera salib untuk tempoh selama 10 tahun.
Lukisan dari sebuah manuskrip yang menggambarkan
Louis IX sedang menyerang
Damietta
Perang Salib Ketujuh (1248–1254)
-
Minat pihak Paus yang ditunjukkan oleh
Kesatria Templar mengundang konflik dengan Mesir pada tahun 1243, dalam tahun berikutnya sebuah pasukan tentera
Khwarezmi
yang dipanggil oleh Mesir menyerbu ke Baitul Maqdis. Walaupun ini tidak
menimbulkan sebarang kekejutan meluas di Eropah sebagaimana berlakunya
kejatuhan Baitul Maqdis pada tahun 1187,
Louis IX mengatur Perang Salib menentang Mesir dari tahun 1248 hingga 1254, dia bertolak dari pelabuhan
Aigues-Mortes
yang baru dibina di selatan Perancis. Ia adalah satu kegagalan dan
Louis menghabiskan hidupnya di istana kerajaan tentera salib di
Acre. Di tengah-tengah perang Salib ini, berlaku
Perang Salib Pengembala Biri-Biri pertama pada tahun 1251.
Perang Salib Kelapan 1270
-
Perang Salib Kelapan dicetuskan oleh
Louis IX pada tahun 1270, sekali lagi belayar dari
Aigues-Mortes,
bertujuan pada mulanya untuk menolong saki-baki negeri-negeri tentera
Salib di Syria. Bagaimana pun, perang Salib ini dihalakan ke
Tunis.
Di situ Louis menghabiskan sisa hayatnya selama hanya dua bulan sebelum
meninggal dunia. Perang Salib Kelapan kadang-kala dikira sebagai Perang
Salib Ketujuh, jika Perang Salib Kelima dan Keenam dikira sebagai satu
Perang Salib tunggal. Perang Salib Kesembilan juga kadang-kala dikira
sebagai sebahagian daripada Perang Salib Kelapan.
Perang Salib Kesembilan (1271–1272)
-
Raja Edward I
dari England menjalankan satu lagi ekspedisi pada tahun 1271, setelah
menemani Louis dalam Perang Salib Kelapan. Dia hanya mencapai sedikit
kejayaan di Syria dan menarik diri berikutan satu gencatan senjata pada
tahun berikutnya. Dengan kejatuhan
Antioch (1268),
Tripoli (1289) dan
Acre (1291), kesan-kesan terakhir pemerintahan Kristian di Syria lenyap.
Perang Salib di Baltik dan Eropah Tengah
-
Perang Salib di kawasan
Laut Baltik dan
Eropah Tengah
adalah usaha-usaha orang Kristian (kebanyakannya berbangsa Jerman)
untuk menakluki dan membawa penduduk di kawasan ini ke dalam agama
Kristian. Perang Salib ini bermula dari kurun ke-12, sewaktu dengan
Perang Salib Kedua, hingga kurun ke-16.
Antara tahun 1232 dan 1234, tercetus perang Salib terhadap
penduduk Stedingen.
Perang Salib ini adalah istimewa, kerana penduduk Stedingen bukanlah
orang kafir atau sesat (dalam agama Kristian), tetapi adalah rakan
semazhab (
Gereja Katolik Rom). Mereka adalah petani-petani bebas
Frisia yang marah dengan cubaan pembesar
Oldenburg dan ketua biskop
Bremen-Hamburg
yang mahu menamatkan kebebasan mereka. Ketua biskop itu menyingkirkan
mereka dan Paus mengisytiharkan Perang Salib pada tahun 1232. Penduduk
Stedingen ditewaskan pada tahun 1234.
Tinggalan Perang Salib
Perang Salib telah meninggalkan kesan-kesan sejarah yang mendalam dan berkekalan.
Eropah
Perang Salib telah memberikan pengaruh yang sangat besar ke atas
Zaman Pertengahan Eropah. Pada ketika sebahagian besar benua tersebut disatukan di bawah
Paus yang begitu berkuasa, tetapi pada kurun ke-14 konsep lama mengenai
Dunia Kristian menjadi pecah, dan kemajuan birokrasi berpusat (pembentukan
negara bangsa
moden) sedang rancak berjalan di Perancis, England, Burgundy, Portugal,
dan sebahagian Castile serta Aragon kerana penguasaan gereja pada
permulaan era Perang Salib. Walaupun Eropah terdedah kepada
kebudayaan Islam buat beberapa kurun menerusi perhubungan di
Semenanjung Iberia dan
Sicily,
banyak pemikiran Islam seperti sains, perubatan dan senibina telah
dipindahkan ke Barat semasa Perang Salib. Pengalaman ketenteraan dari
Perang Salib juga memberi kesan ke atas Eropah; sebagai contoh,
kubu-kubu
Eropah mula memiliki struktur batu yang besar sebagaimana yang terdapat
di Timur, berbanding bangunan kayu yang kecil sebagaimana yang biasa
wujud pada masa lalu. Keperluan untuk membina, mengangkut dan
membekalkan pasukan tentera yang besar membawa kepada perdagangan yang
rancak di segenap Eropah. Kebanyakan jalan-jalan kurang digunakan sejak
zaman
Empayar Rom
menyaksikan pertambahan trafik dengan pedagang-pedagang tempatan mula
meluaskan ruang lingkup mereka. Ini bukan hanya disebabkan Perang Salib
tetapi juga kerana ramai orang 'mahu' mengembara setelah bertemu dengan
hasil keluaran Timur Tengah. Ini juga membantu permulaan
Renaissance di Itali, kerana pelbagai
negara kota
di Itali sejak dari mula lagi mempunyai koloni-koloni perdagangan yang
penting dan lumayan di negeri-negeri tentera salib, samada di Tanah Suci
mahupun di wilayah
Empayar Byzantine
yang ditawan kemudiannya. Di sebalik kekalahan di Timur Tengah, tentera
salib memperoleh kembali Semenanjung Iberia dan melambatkan perluasan
ketenteraan Islam.
Dunia Islam
Perang Salib telah memberi kesan mendalam terhadap
Dunia Islam
dengan perkataan "Frank" dan "tentera salib" kekal setara dengan
ungkapan yang mewakili penghinaan. Orang Islam secara tradisi menyanjung
Salahuddin, pahlawan
Kurdis sebagai hero menentang tentera salib. Pada kurun ke-21 ini, sesetengah orang di
Dunia Arab seperti
pergerakan kemerdekaan Arab dan gerakan
Pan-Islam
menggelar campur tangan pihak Barat dalam hal ehwal Timur Tengah
sebagai "Perang Salib". Perang Salib dianggap oleh Dunia Islam sebagai
serangan hebat yang kejam dan dahsyat oleh orang Kristian Eropah.
Masyarakat Yahudi
-
Ilustrasi Bible Perancis tahun 1250 yang menggambarkan orang Yahudi (ditandai dengan
Judenhut) dibunuh beramai-ramai secara kejam oleh tentera Salib
Kekejaman tentera salib terhadap
orang Yahudi
di bandar-bandar Jerman dan Hungary, juga kemudiannya di Perancis dan
England, dan dalam pembunuhan golongan yang tidak bersenjata
beramai-ramai dengan kejam di Palestin dan Syria menjadi bahagian
bermakna dalam
sejarah anti-Semitisme,
walaupun tiada Perang Salib yang dilancarkan terhadap orang Yahudi.
Serangan-serangan ini meninggalkan perasaan yang kuat di kedua-dua belah
pihak. Kedudukan sosial orang Yahudi di Eropah Barat semakin memburuk,
dan sekatan undang-undang bertambah semasa dan selepas Perang Salib.
Mereka menyediakan jalan kepada undang-undang anti-Yahudi oleh
Paus Innocent III dan menjadi titik peralihan kepada anti-Semitisme Zaman Pertengahan.
Tempoh Perang Salib diceritakan dalam banyak riwayat dari
sumber-sumber Yahudi. Antara riwayat Yahudi yang diketahui ramai ialah
babad-babad oleh
Solomon Bar Simson dan
Rabbi Eliezer bar Nathan,
Riwayat Penganiayaan Lama (
The Narrative of the Old Persecutions) oleh Mainz Anonymous, dan
Sefer Zekhirah (Buku Peringatan) oleh
Rabbi Ephraim dari
Bonn.
Caucasus
Di pergunungan Caucasus dalam negara
Georgia, dalam kawasan tanah tinggi terasing yang disebut
Khevsureti, sebuah kabilah yang dipanggil
orang Khevsur
diandaikan berkemungkinan keturunan langsung bagi sekumpulan tentera
salib yang terpisah dari pasukan yang lebih besar dan kekal dalam
pengasingan dengan beberapa budaya tentera salib terpelihara. Tinggalan
perisai, senjata dan baju besi masih lagi digunakan dan diwarisi turun
temurun dalam masyarakat tersebut hatta sehingga kurun ke-20. Anggota
tentera dan ahli etnografi Rusia,
Arnold Zisserman
yang menghabiskan masa selama 25 tahun (1842-67) di Caucasus, percaya
bahawa kumpulan luar biasa penduduk tanah tinggi Georgia tersebut adalah
keturunan tentera salib terakhir berdasarkan adat resam, bahasa, dan
kesenian mereka. Pengembara Amerika,
Richard Halliburton (1900-1939) menyaksi dan mencatatkan adat resam kabilah tersebut dalam tahun 1935.
Penggunaan istilah "Perang Salib"
Perang Salib tidak pernah digunakan oleh orang-orang yang terlibat
dalam perang tersebut. Tentera Salib yang asal dikenali dengan pelbagai
istilah termasuklah
fideles Sancti Petri (orang yang beriman dengan St. Peter) atau
milites Christi (tentera
al-Masih). Mereka melihat diri mereka sebagai membuat
iter (perjalanan), atau
peregrinatio
(ziarah suci), walaupun jemaah ziarah ke tempat suci selalunya dilarang
membawa senjata. Seperti jemaah ziarah suci, setiap tentera Salib
bersumpah mengangkat sumpah yang akan dipenuhi untuk berjaya sampai ke
Baitul Maqdis, dan mereka diberikan salib kain yang dijahit pada pakaian
mereka. Perbuatan "mengambil salib" (
crux) ini akhirnya dikaitkan dengan keseluruhan perjalanan itu; perkataan "crusade" (masuk ke dalam
bahasa Inggeris dari perkataan
Perancis croisade,
bahasa Itali crociata atau
bahasa Portugis cruzada) terbina daripada sini.
Sejak kurun ke-17, istilah "perang Salib" telah membawa satu konotasi dalam
Dunia Barat iaitu satu kempen yang wajar, pada kebiasaannya untuk "membanteras
kejahatan",
atau berperang untuk alasan yang wajar. Dalam penggunaan umum atau
keagamaan bukan sejarah, "perang Salib" mempunyai makna yang lebih tegas
dan keagamaan — sebahagian besarnya dibuang dari 'perjuangan
bersenjata'.
Dalam makna yang lebih luas, "perang Salib" dapat digunakan, selalunya dalam makna bersifat
retorik dan
metafora, untuk mewajarkan sebarang
perang yang mendapat justifikasi agama.
Aktivis-aktivis fanatik juga merujuk alasan mereka sebagai "perang
Salib", sebagaimana dalam "Perang Salib terhadap Buta Huruf Orang
Dewasa", atau "Perang Salib terhadap Pembuangan Sampah". Dalam
tahun-tahun kebelakangan ini, bagaimana pun, penggunaan "perang Salib"
sebagai istilah positif telah menjadi kurang untuk mengelak daripada
menyinggung perasaan orang Islam atau sesiapa sahaja yang terasa
tersinggung hati dengan istilah tersebut. Istilah ini juga mencorakkan
kefanatikan pendukung agenda, contohnya kempen-kempen "Perang Salib buat
hak wanita untuk memilih" dan "Perang Salib untuk bersembahyang di
sekolah awam".
Reputasi popular
Di Eropah Barat, secara tradisi Perang Salib dipandang tinggi oleh
orang awam sebagai kisah pengembaraan keperwiraan, walaupun semangat
tinggi orang biasa sebahagian besarnya habis dalam Perang Salib Pertama
yang menyaksikan ramai golongan kelas ini tidak dapat kembali dengan
selamat. Kini, pihak musuh, orang
Saracen dibentuk dalam hanya seorang tokoh,
Salahuddin; musuh beliau,
Richard the Lionheart, dalam dunia yang berbahasa Inggeris, adalah raja tentera Salib yang unggul, sementara
Frederick Barbarossa dan
Louis IX
memenuhi kedudukan yang sama dalam budaya Jerman dan Perancis. Hatta di
kawasan yang sezaman, perang Salib dan pemimpin mereka telah diolah
secara romantik dalam kesusateraan popular;
Chanson d'Antioche adalah sebuah
chanson de geste yang menyentuh Perang Salib Pertama, dan
Lagu Roland (
Song of Roland) yang menyentuh era
Charlemagne dipengaruhi secara terus oleh pengalaman perang Salib, pergi begitu jauh sehingga menggantikan penentang Charlemagne,
orang Basque dengan orang Islam. Satu tema popular bagi
troubador ialah kesatria memenangi hati wanitanya dengan pergi menyertai perang Salib di Timur.
Pada kurun ke-14,
Godfrey of Bouillon disatukan dengan
Perang Trojan dan kisah pengembaraan
Iskandar Agung (
Alexander the Great) terhadap latar belakang bagi keberanian
Nine Worthies yang berdiri sebagai
hero budaya sekular yang popular ke dalam kurun ke-16, apabila citasara kesusasteraan yang lebih kritikal beralih kepada
Torquato Tasso
dan Rinaldo dan Armida, Roger dan Angelica. Kemudiannya kemunculan
makna sejarah yang lebih sahih di kalangan golongan berpendidikan
membawa Perang Salib ke dalam satu fokus baru bagi penjanaan romantik
dalam roman Sir
Walter Scott pada awal kurun ke-19. Malah gambaran perang Salib dapat dijumpai dalam
Perang Crimea yang
United Kingdom dan Perancis bersekutu
Empayar Turki Uthmaniyyah, dan dalam
Perang Dunia Pertama, terutamanya penawanan Baitul Maqdis oleh
Edmund Henry Hynman Allenby pada tahun 1917.
Di Sepanyol, reputasi popular mengenai Perang Salib disinari dengan sejarah
Reconquista Sepanyol.
El Cid adalah tokoh utama.
Dunia Kristian Ortodoks Timur
Sama seperti orang Islam, penganut
Kristian Ortodoks Timur juga melihat Perang Salib sebagai serangan oleh orang gasar Barat, tetapi tertumpu kepada
Penjarahan Constantinople
dalam tahun 1204. Banyak relik dan artifak yang diambil dari
Constantinople masih lagi berada dalam tangan orang Katolik Rom, di
dalam
Vatican dan tempat lain. Perselisihan faham yang wujud sekarang antara orang Turki dan
orang Yunani mengenai hak tuntutan ke atas
Kuda-Kuda Yunani di atas muka bangunan
Basilika St. Mark di
Venice.
Orang Yunani berhujah bahawa friz tersebut adalah sememangnya
sebahagian daripada warisan budaya dan identiti Yunani, sama dengan
Marmar Elgin, dan orang Turki membalas bahawa friz itu berasal dari tempat yang disebut
Istanbul
hari ini. Sebuah gambar sejarah Perang Salib Turki yang popular dapat
dihimpunkan dengan menyusun teks risalah rasmi Turki mengenai kubu-kubu
tentera Salib di pantai dan kepulauan pantai
Laut Aegean. Negara-negara Eropah Tengah, di sebalik fakta bahawa mereka secara formal tergolong dalam agama
Kristian Barat, adalah yang paling mencurigai idea Perang Salib. Banyak bandar di
Hungary telah dijarah oleh kumpulan-kumpulan tentera Salib yang melaluinya; seorang pemerintah
Poland enggan menyertai satu perang Salib, kononnya disebabkan kekurangan
bir
di Tanah Suci. Kemudiannya, Poland dan Hungary sendiri menjadi sasaran
penaklukan oleh tentera Salib, dan oleh kerana itu memperjuangkan
tanggapan bahawa
orang pagan mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan mempunyai hak memiliki tanah-tanah mereka (lihat
Pawel Wlodkowic).